in ,

Waktu Melawat Di Hospital Yang Kau Patut Tahu

Dua-tiga hari lepas viral video seorang pengawal keselamatan ‘bergaduh’ dengan seorang pelawat di sebuah hospital. Saya berkesempatan berjumpa pengawal keselamatan tersebut yang datang berjumpa saya untuk sambung MC. Matanya lebam dan luka di dahinya agak besar.

Tapi bukan itu yang saya nak sentuh.

Gejala pesakit (terutama warisnya) bertelagah dengan pengawal keselamatan bukan hal baru, terutama di Hospital saya. Tak tahu lah, adakah orang Terengganu memang ‘bekeng’ atau ia berlaku di tempat lain juga.

Saya pernah melihat seorang lelaki (berserban) memegang tangan dua anaknya lalu merempuh Pengawal Keselamatan dengan kasar sehingga terhantuk kepala Pengawal dan hampir tersembam (ya, waktu itu bukan waktu melawat!). Bukan sekali dua saya melihat waris pesakit menengking pengawal. Yang mengangkat tangan hendak menumbuk, dah selalu juga.

Kata waris pesakit “Pengawal ni kurang ajar sangat. Cakap kasar.” Dan sebagainya.

Hakikatnya semua insiden ini berlaku kerana dua punca utama yang masyarakat kena ambil tahu dan prihatin:

1) PELAWAT BERDEGIL MAHU MELAWAT DI LUAR WAKTU MELAWAT
2) PELAWAT BERDEGIL MAHU MEMBAWA MASUK KANAK-KANAK KE HOSPITAL

Pada waktu melawat, majoriti pengawal hanya berdiri, tidak berkata apa-apa dan membenarkan pelawat keluar-masuk bebas (kecuali kawasan tertentu seperti ICU dan sebagainya). Tetapi di luar waktu melawat, tentu sekali Pengawal Keselematan perlu bertindak tegas.

-Kenapa tak boleh melawat di luar waktu melawat?
-Kami datang dari jauh ni! Tiba-tiba Pak Guard tak bagi masuk!
-Saya kerja pula lepas ni! Takkan tak boleh masuk kejap!

Di luar waktu melawat, para petugas khasnya doktor dan jururawat sangat sibuk melaksanakan proses rawatan. Ambil sejarah, pemeriksaan, ambil darah, tukar tiub, dressing dan pelbagai lagi.

Dengan adanya para pelawat di sekeliling katil pesakit ia mengganggu tugas kami. Sangat. Sangat. Mengganggu. Kadang kala waris dari katil sebelah, ditambah dengan kanak-kanak yang berkejaran. Ia sangat mengganggu.

Sesetengah pesakit pula memerlukan privacy. Menukar pakaian, lampin, pembalut (yang kadangkala di bahagian sensitif). Mungkin waris anda (pesakit) tidak memerlukannya…tetapi pesakit lain di wad memerlukannya.

Sesetengah prosedur juga tidak sesuai untuk dilakukan di khalayak ramai (hatta waris terdekat!), terutama mereka yang tidak faham perihal prosedur tersebut. Dari segi pemeriksaan pula banyak soalan dan pemeriksaan yang bersifat SANGAT SULIT boleh berlangsung. Bagaimana pesakit hendak bekerjasama jika warisnya (atau waris ‘entah siapa-siapa entah’ berlegar berdekatan).

Majoriti waris atau pelawat yang degil ini sebenarnya bukanlah melawat pesakit kritikal yang mungkin ‘pergi’ bila-bila masa. Ya, majoriti pengawal keselamatan memahaminya dan pengecualian atas budi bicara selalu diberikan oleh mereka. Tetapi majoriti kes adalah pesakit yang stabil, yang ‘BOLEH TUNGGU’ sehingga waktu melawat.

Sehingga sekarang saya masih lagi menerima panggilan telefon tiba-tiba dari ‘kenalan-kenalan’ yang tak pernah pun kami bertegur sapa selama ini… tetapi : “Doktor, boleh tak tolong cakap dekat guard. Kami nak masuk melawat kejap. Nak tunggu pukul 1 tak boleh, nanti nak balik Kelantan pula. Tolong ya doktor.”

Harap semua dapat faham dan comply. Jangan salahkan pengawal keselamatan jika TERPAKSA BERTEGAS apabila anda masih BERDEGIL.

Kanak-kanak di wad, ramai yang tak sedar betapa ia adalah risiko yang tidak perlu. Hospital-acquired infection (jangkitan yang diperoleh dari hospital) adalah ‘real’. Ia ‘unnecessary risk’ untuk kanak-kanak. Di hospital terutamanya wad, berpuluh-puluh jenis kuman yang sebahagiannya SANGAT virulens berlegar-legar di udara, di atas katil, di lantai, di dinding. Ah, di mana-mana.

Kanak-kanak mempunyai sistem imun yang lebih rendah berbanding orang dewasa. Mereka lebih berisiko mendapat jangkitan walaupun sekadar melawat pesakit di wad. Apatah lagi apabila kanak-kanak itu memanjat katil dan kerusi, berguling atas lantai, berlari-lari, dan sebagainya.

Selain mengganggu petugas dan pesakit, anda hanya mendedahkan si kecil anda kepada kuman yang tidak perlu.

Selepas ini diharap masyarakat dapat faham dan memberi kerjasama kepada pihak hospital. Ya, melawat orang sakit itu digalakkan, besar pahalanya. Tapi ikutlah aturan yang ditetapkan pihak Hospital. Setiap peraturan dibuat atas alasan yang rasional.

Pengawal keselamatan hanya menjalankan tugas mereka. Hormati lah peraturan, dan hormati mereka. InsyaAllah, mereka sendiri tidak akan mengganggu anda.

Ingat.
— Datang melawat HANYA pada waktu melawat. Rancanglah perjalanan anda. Ya, anda ada kerja lain. Semua orang pun ada tugas lain, tapi ia tak membenarkan anda ‘violate’ tugasan orang lain.
— Tinggalkan lah anak-anak kecil anda di rumah. Jika terpaksa membawa, bergilirlah menjaganya di luar (perkarangan) hospital. Itu yang selalu saya amalkan apabila melawat kenalan atau waris di hospital.
— Kalau ditegur pengawal, patuhilah arahan. Mereka hanya menjalankan tugas. Sebarang pengecualian adalah atas budi bicara mereka (dan bukannya kerana anda berhak).

Kita datang untuk menceriakan pesakit.
Bukan mencari Penyakit!

* Kuman yang virulens ni, ikut bahasa saintifiknya adalah Kuman yang paling Gengster lah.

Fahd Razy

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Perkara Penting Kau Perlu Tahu Sebelum Berkunjung Ke MAHA 2016

Ubat Yang Kau Wajib Bawa Semasa Travel