in ,

Sejarah “Cina Jaga Duit” Kerajaan Malaysia

Gambar: Rocketkini.com

Kabinet Tanah Melayu (kemudiannya Malaysia) bermula dengan konsep mudah iaitu “Cina jaga duit”. Jadi diserahkan tugas menteri kewangan yang pertama kepada Tun HS Lee.

Selepas Tun HS Lee bersara tahun 1959, jawatan tersebut dipegang oleh Tun Tan Siew Sin.

Tun Tan Siew Sin terkenal sebagai seorang menteri yang sangat cermat. Terlalu banyak kisahnya melibatkan Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak.

Pada satu ketika, Siew Sin ingin bercuti untuk tempoh yang agak lama sebagai menteri kewangan dan meminta kebenaran Tunku. Tunku membenarkannya. Siew Sin bertanya Tunku, siapa yang akan memangku tugas saya nanti? Tunku menjawab, sayalah.

Tun Tan Siew Sin

Siew Sin yang mengenali Tunku sebagai seorang yang murah hati (sebenarnya, boros), terus menarik balik permohonan cuti beliau.

Dalam satu peristiwa lain, Tunku menulis surat kepada Siew Sin memohon agar Siew Sin menolong kawannya yang dikejar oleh LHDN (pada ketika itulah). Mudah-mudahan Siew Sin dapat memberi sedikit pertimbangan. Siew Sin yang berang dengan tindakan Tunku pergi berjumpa Tun Dr Ismail (ketika itu Menteri pPrdagangan dan Industri) dan marah-marah, “apa ni Tunku suruh buat benda bukan-bukan.”

Tun Dr Ismail kata Tunku tulis surat tu sebagai seorang kawan untuk seorang kawan dan sebagai kawan, dia sudah laksanakan tugas dia. Dan kamu apabila menolak permintaan Tunku telah laksanakan tugas kepada negara, sambil Tun Dr Ismail merenyukkan surat Tunku dan membuangnya ke dalam tong sampah.

Kemudian di zaman Tun Razak pun sama. Sewaktu menjadi PM, semua lawatan Tun Razak ke luar negara dia akan pastikan isterinya Tun Rahah tak ikut. Kalau nak, kena bayar sendiri. Kalau Rahah ikut nanti, apa saya nak jawab kat Siew Sin?

Apa saja perbelanjaan negara, pertimbangan Tun Razak ialah “Nanti Siew Sin kata apa?”

Begitu kuasa seorang Menteri Kewangan.

Ini di zaman 70’an bila petroleum belum ada dan pejabat kerajaan serta balai polis terpaksa recycle kertas-kertas lama dan gunakan dua-dua belah muka (double sided) kerana kekangan peruntukan.

Apabila Siew Sin bersara pada tahun 1974, jawatan Menteri Kewangan diserahkan kepada Tun Hussein Onn yang merupakan TPM. Masih terkawal lagi pada waktu itu.

Tun Hussein Onn

Apabila Tun Hussein menjadi PM pada tahun 1976, beliau melantik Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) sebagai Menteri Kewangan. Tun Hussein tahu ‘hukum’ pada waktu itu. Pada waktu ini masih OK lagi.

Keadaan mula berubah apabila Tun M menjadi PM pada tahun 1981.

Apabila Tun M menjadi PM, berlaku kekosongan untuk jawatan TPM. Musa Hitam bersaing dengan Ku Li untuk jawatan Timbalan Presiden Umno. Tun M memang kurang berkenan dengan Ku Li kerana walaupun Ku Li ialah “PM’s material” tetapi Ku Li bukanlah “TPM’s material”. Dengan darah diraja Ku Li, susah Ku Li nak dengar cakap Tun M.

Meskipun menjadi Menteri Kewangan, Ku Li tewas di tangan Musa Hitam untuk jawatan Timbalan Presiden Umno.

Tahun 1984, Ku Li mencabar Musa Hitam lagi untuk jawatan yang sama dan sekali lagi Ku Li tewas.

Melihatkan situasi ini, Tun M ‘menurunkan pangkat’ dan mengubah portfolio Ku Li dengan melantiknya menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) manakala jawatan Menteri Kewangan diserahkan kepada “orang luar”, seorang tokoh korporat muda bernama Daim Zainuddin.

Daim tidak bercita-cita tinggi di dalam politik, maka jawatan Menteri Kewangan yang dipegangnya seiring sejalan dengan wawasan Tun M. Jawatan itu dipegang Daim selama 7 tahun (asalnya cuma 3 tahun) dan Daim akhirnya bersara pada tahun 1991.

Tun Daim Bersama Tun Mahathir

Diganti pula oleh Anwar Ibrahim. Semuanya cantik saja di permulaan sehinggalah kegawatan ekonomi menimpa pada tahun 1997/1998. Perbezaan ketara Mahathir – Anwar (Gabenor Bank Negara di belakangnya) dalam menyelesaikan kegawatan ekonomi menyebabkan Gabenor dan Timbalannya meletakkan jawatan, seterusnya Anwar juga dipecat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim

Mahathir memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan buat seketika (1998 – 1999) dan mewujudkan portfolio Menteri Kewangan Kedua (disandang oleh Datuk Mustapa Mohamad) sebelum melantik Tun Daim semula sebagai Menteri Kewangan Pertama (1999 – 2001). Oleh kerana terdapat banyak sangat “cerita bukan-bukan” mengenai Daim yang enggan dinafikan sendiri oleh Daim, Daim memilih untuk letak jawatan sebagai jawatan Menteri Kewangan Pertama. Tun M terpaksa mengambil alih jawatan tersebut sehingga bersara.

Model Menteri Kewangan Pertama dan Kedua ini asalnya untuk menangani krisis ekonomi yang bersifat sementara dan sepatutnya ditamatkan selepas Tun M bersara pada November 2003.

Sebaliknya, Pak Lah menyambung pula legasi yang ‘salah’ ini. Beliau memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan Pertama dan Menteri Kewangan Kedua disandang oleh Tan Sri Jamaluddin Jarjis, kemudiannya digantikan oleh Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Tun Abdullah Sebagai Menteri Kewangan

Di dalam biografi Tan Sri Nor, beliau memberitahu bahawa dialah sebenarnya “de facto” Menteri Kewangan kerana Pak Lah terlalu sibuk dengan urusan PM dan sering ke luar negara, sesuatu yang dianggap menjadi punca kejatuhannya. Banyak urusan Menteri Kewangan Pertama ditangani oleh Menteri Kewangan Kedua.

Legasi salah itu diteruskan lagi oleh Najib Razak sehinggalah beliau tumbang di dalam PRU-14.

Maka jadilah seperti ungkapan Mat Sabu “Najib mintak duit daripada Najib dan diluluskan oleh Najib untuk kegunaan Najib”.

Secara tradisinya, memang PM tidak menjadi Menteri Kewangan kecuali di zaman kegawatan ekonomi 1997/1998. Malangnya, sama ada disengajakan atau tidak, legasi salah itu diteruskan.

Kalau pun jawatan Menteri Kewangan dipegang oleh bukan PM, jawatan itu tetap tidak boleh dipegang oleh parti yang sama (seperti Umno). Aku rasa model asal zaman merdeka apabila Cina MCA (kini Cina DAP) menjadi Menteri Kewangan merupakan model yang terbaik.

Selama Kementerian Kewangan duduk di bawah pemimpin Umno, sama ada disengajakan atau tidak, portfolio itu dijadikan batu loncatan untuk pimpinan Umno untuk melobi tender dan kontrak lalu menyuburkan satu bala lain iaitu politik wang dan rasuah.

Budaya jahanam inilah yang membawa kepada kemusnahan Umno sekarang – politik wang dan rasuah. Melantik Cina DAP merupakan satu isyarat jelas mengenai kesilapan Tun M yang lepas. Semuanya berakar dari legasi yang salah inilah.

Restorasi yang dilakukan oleh Tun M ibarat kembali kepada asolah. Mudah-mudahan ada kebaikannya, kita doakan.

Mohamed Hadi AH

What do you think?

4 points
Upvote Downvote

Total votes: 4

Upvotes: 4

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Mengundilah Manusia Seperti Churchill

Kau Ingat Senang-Senang Nak Mansuhkan GST?