in ,

Merawat Luka Planet Hijau-Biru Ini

 

Hari ini adalah ulang tahun ke-12 tragedi Tsunami 2004.

Tsunami yang membadai kesan dari gempa bumi di tengah Lautan Hindi telah meragut 230,000 nyawa dari 14 buah negara termasuk Indonesia dan bumi bertuah yang kita diami ini.

Sejarah tanggal 26 Disember itu menyaksikan bukan sahaja kawasan pesisir pantai yang terjejas bahkan amukan air laut telah membelah sehingga beberapa kilometer ke daratan menyebabkan ada kapal besar mampu ‘berlabuh’ di perumahan penduduk.

Antara pengajaran besar daripada peristiwa tersebut, selain telah menzahirkan sifat belas ihsan seluruh masyarakat dunia yang dilaporkan telah menderma sehingga AS$14 bilion (RM49.7 bilion), adalah perlunya kita kembali kepada ‘alam’ untuk melindungi dan merawat sebarang luka planet hijau-biru ini.

Dunia melihat bagaimana kawasan pesisiran yang mempunyai ‘lubuk nyamuk’ atau hutan bakau telah berjaya melindungi harta benda dan penduduk sekitar daripada menjadi sebahagian statistik malang hari itu.

Misalnya, kawasan Ranong di selatan Thailand yang terletak di pesisir Laut Andaman dilaporkan hampir tidak terjejas ke­rana dibentengi hutan paya bakau yang luas.

Malah di Sri Lanka, negara yang mencatat kematian lebih 35,000 penduduk dan setengah juta orang kehilangan tempat tinggal itu me­nyaksikan penduduk perkampu­ngan Kapuhenwala dan Wanduruppa yang berkubukan hutan bakau seluas 200 hektar terselamat dengan hanya dua nyawa terkorban iaitu bilangan terendah berbanding kampung lain di negara itu.

Hutan bakau yang terletak di antara laut dan darat mempunyai akar yang kuat, menyerap air dalam jumlah besar dan mengelak banjir sekaligus mampu melindungi kawasan pesisiran dari terjahan angin kuat, ribut dan tsunami.

Semenjak 2006, kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Sumber Asli & Alam Sekitar serta agensi-agensi teknikal, golongan pakar dan NGO-NGO tempatan telah berganding bahu dalam melaksanakan projek penanaman pokok bakau dan spesis bersesuaian untuk tujuan mewujudkan semula ekosistem hutan paya laut sebagai benteng penahan kepada ombak besar dan menjadi habitat kepada hidupan laut.

Hasilnya sehingga kini, sebanyak lebih kurang 3,000 lebih hektar daripada 4,000 hektar kawasan pesisiran pantai yang dikenal pasti di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak telah berjaya ditanam dengan lebih 7 juta batang pokok bakau dan spesies-spesies pokok lain yang bersesuaian.

Namun, jumlah ini masih jauh lagi dari angka mencukupi, ditambah pula dengan hutan paya bakau kita masih lagi diancam dengan pelbagai tekanan daripada projek-projek pembangunan seperti pembukaan kolam akuakultur, pembinaan kilang, kawasan perumahan, perladangan dan karenah birokrasi hutan yang berada di bawah kerajaan negeri.

Marilah kita menyokong usaha-usaha dalam memulihara dan memantau kawasan hutan paya bakau kita.

Hafizudin Nasarudin

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Perkara Penting Kau Kena Tahu Sebelum Kahwin Dengan Orang Jawa

SM Salim: Patah Tumbuh, Kehilangan Yang Pasti Tiada Ganti