in ,

Lain Padang Lain Belalang, Lain Anak Lain Didiknya

Kami menghantar anak kami ke kelas berenang seawal usia 6 bulan kerana daripada pembacaan kami, itu adalah waktu terbaik untuk mengajar mereka.

Semasa di hari pertama, saya memang tidak mengharapkan apa-apa daripadanya. Saya biarkan dia biasa dengan guru renang, kolam dan rakan-rakan baru di sana. Macam biasa dia teruja seperti kanak-kanak lain.

Pada ketika itu, pengajar ada beritahu kami bahawa dia tidak akan memaksa anak kami jika anak kami tidak dapat mengikuti modul dikelasnya. Kami mengangguk tanda setuju dengannya.

Selepas 3 bulan mengikuti kelas renang di sana, saya ingin juga melihat perkembangan anak saya. Paling kurang pun dia berasa yakin semasa di dalam kolam. Namun anak saya tidak menunjukkan apa-apa perubahan.

Dia hanya suka bermain air di kolam sahaja. Apabila pengajar mengarahkan dia memanjat dinding di tepi kolam, menyelam, melakukan sepakan di air dan lain-lain. Ada masa dia ikut ada masa dia hanya berpaut di badan saya sahaja.

Saya lihat kebanyakan kanak-kanak lain boleh mengikuti kelas renang dengan cemerlang. Paling kurang pun mereka yakin apabila dilepaskan bersendirian.

Saya berasa kurang sabar. Saya dukung dia dan paksa anak saya melakukan kesemua modul yang diajar. Saya fikir dengan cara ini anak saya akan belajar dengan cepat dan melekat di kepala. Hakikatnya tidak! Anak saya tidak menghiraukan saya dan meronta-ronta ingin keluar dari kolam.

Guru renang melihat tindakan saya dan dia menegur saya dengan lembutnya.

“Encik, tak apa kalau dia tak nak sekarang. Cuma berikan dia galakan, kata-kata semangat dan selalu kata pada dia yang dia boleh lakukannya. Selepas itu berikan dia ciuman sebagai tanda penghargaan jika dia berjaya lakukan modul itu. Jangan sesekali paksa mereka”.

“Tapi budak tu baru masuk kelas bulan lepas dah boleh menyelam dah,” balas saya.

“Setiap kanak-kanak lain encik. Sesetengah daripada mereka sukakan cara lembut daripada paksaan ini,” dia memandang tepat ke arah saya

“Percayalah. Ia memang mengambil masa tetapi ia berbaloi!” tambahnya dengan tegas.

Saya terdiam. Saya sememangnya sangat setuju dengan apa yang dikatakan olehnya. Mungkin saya bersikap tidak sabar sehinggakan tidak boleh berfikir seperti dia.

Selepas pada hari itu saya praktikkan apa yang dikatakan oleh guru renang tersebut. Sebelum kelas saya beritahu anak saya yang dia boleh buat lebih baik daripada minggu lepas. Saya peluk, cium dan ucapkan tahniah selepas dia berjaya lengkapkan satu modul. Habis sahaja kelas, saya kata saya bangga dengan dia kerana dia mengikuti kelas dengan jayanya walaupun ada masa dia tidak menunjukkan apa yang diharapkan.

Saya ulangi cara ini setiap hari. Akhirnya anak saya mula menunjukkan perubahan. Dia sangat yakin apabila dilepaskan dalam air, patuh dengan arahan guru dan mudah memanjat dinding di tepi kolam renang. Namun, biasalah kanak-kanak berumur 2 tahun, mudah tertarik dengan mainan yang terdapat di kolam renang itu.

Kemudian, saya gunakan ilmu yang saya dapat ini dalam kehidupan harian saya. Kadangkala ia berkesan, kadang tidak. Walau bagaimanapun, kebanyakannya sangat berkesan kepada sesetengah orang.

Setelah sekian lama saya mempratikkannya, ia membuat saya berfikir seketika. Di dalam mengharungi perubahan dunia yang semakin laju dan rancak ini kita terlalu berkeras dan terlalu memaksa untuk mendapatkan sesuatu kepada orang lain.

Hinggakan kita lupa yang kita sebenarnya berhubung dengan manusia. Satu-satunya makhluk yang membuat keputusan berdasarkan emosi dan pemikiran.

Terima kasih kepada guru renang anak saya. Kamu mengajar sesuatu yang berharga dan mengingatkan perkara yang hampir hilang pada naluri seorang manusia.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Jaga Gigi Anak, Kalau Tidak Ini Yang Akan Terjadi

Ke Mana Ringgit Telah Pergi