in ,

Kisah Pak Putih dan Mak Itang, Pencuri Duit Tabung Masjid

Gambar : FB Khairul Hakimin Muhammad

Di sebuah ladang yang terbentang, para petaninya bukan main berjuang untuk memandaikan semua pokok dan pohon di situ mengeluarkan buah dan sayur-sayur.

Maka mereka ini bangun seawal pagi, menjerang air panas, kemudian terus ke perigi mengambil lagi air untuk berwuduk, mandi dan memberi segar kepada gigi dan tubuh suci.

Lalu terus sahaja mengejutkan anak-anak, disuruh mandi, berdiri mengadap Tuhan dan kemudian ke sekolah. Maka, lantas sahaja mereka mengambil cangkul dan parang-parang turun ke tanah. Lalu berguguslah manusia berjalan mengikut lorong-lorong kecil dari rumah buruk ke tanah-tanah berupa seperti jalur-jalur yang diisi dengan anak-anak pokok dan tanaman yang masih kecil.

Ada yang mengambil bahagian menyiram, ada yang terus sahaja meletak barang dan mencapai seguni benih. Terus tangan kanannya memegang sebatang kayu panjang yang meruncing di bahagian hadapannya seperti tombak, lalu di cucuk di dalam tanah dan kemudiannya tangan yang sebelah lagi mencurah biji-biji benih.

Kecoh-kecoh seperti pesta di sebidang tanah tidak berakhir saat peluh pertama jatuh, ia berlari-lari di tubuh yang pagi tadi sudah bersih untuk mengadap Tuhan yang selalu sahaja memberi rezeki kepada yang berusaha.

Lalu mereka berhenti sekejapan. Ada orang muda yang berseluar bersih. Warnanya coklat siap bertopi besar. Mengarah semuanya berhenti dan duduklah beramai-ramai di atas tikar lusuh lalu masing-masing mengeluarkan bekal.

Perlahan-lahan membukanya lalu seperti serentak, tangan-tangan dibersihkan lalu terus sahaja menjemput-jemput nasi dan ikan kering terus memasuki ruang mulut dan mengunyah. Sunyi seketika. Walau burung pun tak mahu mengganggu dengan cicip-cicip kecil, lalang-lalang pun elok sahaja menegak tidak ditiup angin. Semua diam.

Tiba-tiba seorang anak berlari,

“Maakkk.. Maaaak… Mak Itang dan Pak Putih kena tangkap dalam surau, dia mencuri duit tabung!”

Lalu bergesa dan bangun, berlarilah semua yang sedang berehat tadi bergerombolan meninggalkan tanah menuju ke rumah ibadah yang sangat-sangat agung itu.

Sampai sahaja di situ, kelihatan Mak Itang sedang duduk bersila, tangannya diikat, suaminya sama. Lalu terus sahaja orang kampung yang sama sahaja berlari tadi melepuk-lepuk kepala Mak Itang, si suaminya Pak Putih turut ditumbuk dan dihina-hina. Dicemuh hingga maruahnya jatuh seperti setan-setan yang sentiasa dimaki-maki oleh hambaNya yang beriman.

Sudah selamat memenuhi kepuasan tangan dan kaki untuk hinggap di pipi Pak Putih, kepala Mak Itang, lalu mereka dibawa ke balai. Lalu polis pun menangkap Mak Itang masih berdarah di mulut. Jarinya tersangkut di bahagian belakang badan kerana masih diikat kemas.

Dibiarkan sahaja wajahnya itu ditonton manusia berkampung-kampung yang datang. Yang mengalir dari bibir jatuh menitik-nitik. Merah.

Mak Itang dan Pak Putih ditangkap mencuri di surau. Sebuah saat paling tragis yang tak boleh dibuat oleh sesiapa pun. Ia surau. Jangankan mencuri, bersetubuh, berzina, merogol dan membunuh orang juga dianggap sebagai dosa paling besar kerana berbuat jahat di rumah Tuhan bakal dihukum manusia dahulu sebelum di panah dengan segala bentuk pengakhiran neraka nanti.

Setelah seminggu dua, kelibat Mak Itang dan Pak Putih tidak kelihatan. Budak kecil yang membawa cerita pun entah mana-mana. Kisahnya itu semakin mahu berakhir, orang kampung kembali ke tanah dan menguruskan semuanya supaya beroleh rezeki paling halal dalam dunia. Orang kampung yang rajin, pagi-pagi sudah rukuk dan sujud itu semakin hebat mengerjakan tanah orang kaya.

Pada suatu hari, datang seorang anak gadis manis. Namanya Siti. Dari rumah ke rumah mengambil upah membasuh dan mencuci rumah. Sampailah di rumah Mak Itang, dia memberi salam. Salamnya disambut perlahan.

Mak Itang membuka pintu rumahnya berkeriuk-keriuk bunyinya. Malam yang pernah sepi berminggu-minggu itu, siangnya pula diam dengan segala bentuk suara, hari itu ada suara yang menyahut dari luar. Lalu Mak Itang menjenguk perlahan-lahan. Lebam di bawah matanya masih ada. calar dipipinya juga masih berparut merah. Seperti semalam.

“Mak Itang, ada tak kerja yang saya boleh lakukan? Saya mahu kerja. Yang halal-halal sahaja, saya tak suka mencuri Mak Itang.”

Mak Itang terus terduduk, menangis bersedu-sedu dengan suaranya yang bersilih ganti. “Aku tak ada wang nak hidup, inikan mahu memberi kau upah Siti, yang rajin ke sana sini mencari upah. Rumahku bersepah, dapurku gelisah, segala periuk dan kuali yang aku ada pun telah suram dan bernaskah dengan rahsia-rahsia aku simpan supaya aib suamiku ini tidak tersebar. Ia sudah berbulan tidak bernyawa, Siti.”

Siti ikut duduk di tangga yang semakin mahu meroboh.

“Oh, maafkan Siti, Mak Itang. Mak Itang sakit?”

Mak Itang menggeleng.

“Pak Putih Sakit?”

Mak Itang menggeleng.

“Lalu kenapa Mak Itang mengambil duit di surau kita? Yang tidak pernah kaya, tidak pernah berharta itu pun Mak Itang?”

Lalu air mata semakin bercucuran laju. Lebih pantas daripada manusia yang berlari mahu melepuk kepala Mak Itang dan Pak Putih.

“Hari itu, Mak Itang ke surau. Pak Putih ikut. Sudah berminggu-minggu kami tidak dapat makan, anak-anak yang sudah keluar kampung ke bandar sudah bertahun tidak pulang, entah hidup entah tidak. Ubi di luar rumah pun sudah habis kami korek dan tarah. Daun-daun sekeliling rumah pun habis kami kerah. Hinggalah Pak Putih kata mahu berjumpa imam dan menebalkan wajah memohon bantuan. Lalu kami pun pergi bersama-sama.

Sampai di sana, kami masih bersih. Namun seorang pun tidak muncul. Kami mundar-mandir. Menanti hingga matahari naik. Namun masih belum ada manusia datang. Hinggalah Pak Putih nampak ada wang yang terkeluar dari tabung.

Lalu Pak Putih pun bangun dan menggunakan jarinya untuk menolaknya ke dalam, terus sahaja ditempik Pak Imam. Cucunya terus sahaja berlari dan melolong memberitahu orang kampung.

Mak Itang terus ditampar, Pak Putih ditumbuk di wajahnya. Lalu dipukul bertubi-tubi. Tangan kakinya diikat. Sudahlah perut kami selapar-laparnya. Tuhan pula memberi uji dengan sakit-sakit pada badan. selepas itu, Tuhan uji lagi dengan maruah yang entah di mana-mana bercicir. Mahu sahaja Mak Itang mengutip dan memberi kembali kepada Pak Putih kau, Siti. Namun Pak Putih kau sudah tidak sudi. Katanya, dia lebih suka mati. Daripada orang kampung menghina, dan memaki, eloklah pergi.”

Mak Itang terus menangis. Siti terpana. Maksudnya selama ini semua orang salah?

“Ya.. sebab itu Mak Itang dan Pak Putih tak kena tangkap, Pak Polis kata duit sehelai pun tak jumpa di tangan, hanya ada darah-darah, luka-luka dibahan orang kampung dan celaka celaka aib yang menanti di laman rumah,”

Siti pun bangun. Menyuruh Mak Itang pun bangun. Mari membeli beras, Mak Itang. Terus dia berlalu, ke pasar dan memberi secupak dua yang boleh menampung perut dua manusia yang dianggap paling celaka berada di kampung orang sembahyang ini. Yang hari-hari mereka bangun pagi, membersih gigi, mulut, membasuh badan dan bersuci namun kurangnya pada semua itu tidak sampai kepada kebersihan hati dan jiwa.

Segala tenang Siti berakhir pada beras yang dijadikan nasi. Wap-wap berkepul keluar dari rumah Mak Itang. Lalu jirannya yang sudah berpurnama tidak kelihatan, datang melihat asap tersebut. Lalu memberi salam.

Siti terus menerpa. Katanya sudah siap memasak nasi untuk Mak Itang dan Pak Putih. Lauknya hanya ikan kering sama seperti orang-orang berusaha yang berpeluh di tanah milik orang kaya itu. Yang sabarnya hanya pada peluh, bukan pada semangat cinta kepada siasat dan hemah berkasih sayang dengan jiran.

Oh ya, sejadah di ruang rumah itu juga penanda Mak Itang dan Pak Putih punya agama yang sama.

Dikata seagama, namun menghina Tuhan sendiri dalam rumah Tuhan. Tuhan yang bercerita tentang cinta sesama seagama dimalu dan diaib oleh hamba-hambaNya sendiri kerana tidak sabar kepada kelaku sendiri.

Tidak boleh mencuri, namun boleh menuduh tanpa siasat. Lalu dihukum tanpa pernah memberi peluang menerang dan membalas. Lalu darah pun tumpah. Segala yang pernah menampar elok sahaja hidup aman damai dengan anak-anak dihantar ke sekolah lalu menjadi cikgu, doktor dan jurutera berkurun selepas itu.

Lalu ibu bapa ini terkebil-kebil kenapalah anak aku ini kecilnya aku sayang dan tatang bagai minyak panas yang penuh. Namun apabila kau besar, kau lupa kau anak petani kecil yang bersusah membesarkan kau.

Kau kembalikan penghinaan itu kepada ibu bapa kau dan berbangga kaulah manusia paling berjaya pernah ada di seantero kampung. Sedang kau tak ada secubit kasih sayang kepada ibu bapa kau sendiri pun.

Lalu Tuhan mencampakkan ingatan, yang hina, tidak pernah diberi peluang hidup kali ke-dua. Habis semuanya menjadi Tuhan. Merinding semuanya mahu menjadi taukeh atas segala keputusan. Asal nampak bersalah, hukum. Pukul. Belasah. Sampai mati hati-hati yang melihat. Lalu terus hilang dengan waktu. Mak Itang dan Pak Putih pun berusia semakin kelabu lalu rumahnya roboh, matinya tidak ada siapa ziarah, kisahnya pergi bersama jasad dan rohnya. Hilanglah semuanya.

Hiduplah kita dengan mula memukul tanah. Lalu peluh yang turun itu menjadi maruah untuk pencari usaha. Yang kita semua yakin itulah rezeki kita. Hati kita ini menuduh yang tidak bekerja itu pemalas, lalu saat dia ditangkap begitu begini, kita bertukar menjadi Tuhan.

Pukul sampai sakit. Biar dia rasa.

Untuk beri peluang ke-dua, kita tak mahu pula jadi Tuhan. Yang kita mahu, yang salah ini biar mati ditelan tanah. Menyusahkan. Sedang Tuhan sendiri kata, sesiapa yang berdosa kemudian bertaubat, maka Tuhan sendiri akan mengampunkannya.

Eh. Kita kan nak jadi Tuhan. Apalah sangat dengan kata-kata Tuhan.

Khairul Hakimin Muhammad,
Malu sendiri.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 66.666667%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 33.333333%

Leave a Reply

Kenali My Set iPhone Sebelum Kau Menangis Sebab Tersalah Beli

Coretan Mengenai Silibus Persekolahan Anak-anak