in ,

Takkan Melayu Dicopet Di Madrid

Siang kelmarin lepas beli tiket bola, dalam tren nak ke El Rastro, duit aku dalam pouch dah kena seluk. Mujur aku dah bersedia dengan kemungkinan tersebut sebelum ni dengan membaca, menonton dan bertanya pengalaman kawan-kawan pasal hal pickpocket ni. Antaranya sifu Eryzal Zainal yang dah mengembara ke lebih 30 negara. Apa yang aku ‘kena’ ni kurang lebih macam apa yang dia pernah nak kena kat Barcelona.

Cerita dia begini.

Di metro Santiago Bernabeu, ada 2 orang pakcik dalam lingkungan umur 50an ni rapat ke aku dan tanya apa benda entah dalam bahasa Sepanyol, “alfonso alfonso uno des tres.” Ya tak ya saja aku ni.

Dari gerak bahasa badan mereka, aku faham yang dia nak tanya pasal stesen.

“Taik apa tanya aku? Kau orang Sepanyol kot? Aku ni orang Malaysia. Kau makan churros. Aku patin tempoyak.” Dialog ni hanya bermain dalam hati aku.

Masa ni aku dah mula berjaga-jaga. Ingat. Aku dah baca pasal benda ni. Jadi, aku lebih bersedia untuk sebarang kemungkinan.

Aku buat isyarat tak tau sambil terus pegang pouch bag yang tersangkut di antara pinggang dan dada. Kemudian aku tarik tangan bini aku dan kami menuju ke tren yang baru tiba dan akan bertolak tak lama lagi.

Keadaan dalam tren waktu tu agak sesak. Aku dan bini aku terpisah antara 2 pintu tren. Kau jangan pertikai macamana boleh terpisah. Aku cedok perut kau karang. Orang dah ramai sangat waktu tu. Tapi aku boleh nampak dia lagi dalam tren tu. Jarak kami dalam tren masih dalam jarak boleh berbual dan mengorat.

Aku perasan 2 orang pakcik tadi masuk ke dalam tren sama dan berdiri tak jauh dari aku. Mata bertentang mata. Ok. Aku kena lebih berhati-hati. Tapi haram aku tak boleh nak hapal pun muka dia kalau nak ingat atau cam balik walaupun kami dah bermain mata.

Sekejap-sekejap aku cek pouch aku untuk memastikan keselamatan.

Kau bayangkan, dalam aku berjaga-jaga tu, kali ke-3 aku cek, zip bahagian belakang pouch aku dah terbuka!

Aku macam bingung juga mulanya, “Eh, aku tak zip ke tadi poket yang ni?” Aku cek dalam tu, semua benda yang sepatutnya ada dalam tu masih ada. Aku zip balik.

Aku pandang semula ke depan.

Nah kau! Salah sorang pakcik tu dah berada kat depan aku. Kawan dia kat kanan aku.

Ok. Sekarang waktu untuk perlu lebih berhati-hati. Cuma aku waktu tu berdiri di sebelah pintu. Tak ada tempat nak berpaut. Agak tak stabil bila tren nak berhenti dan nak bergerak. Masa tu aku kena la capai apa-apa untuk menstabilkan diri daripada menyondol orang lain.

Dan waktu tu la, dalam 5 saat atau kurang, aku tengok zip poket pouch bag aku yang lagi satu pulak dah terbukak!

Dan kali ni, aku gelabah biawak. Sebab dah agak kosong dalam poket tu. Patutnya ada duit dan resit-resit yang aku simpan.

Jantung menderas. Dalam kepala ligat terbayang apa yang pernah aku baca, tonton dan dengar. Tapi itu teori!
Sekarang ni aku tengah menghadapi ujian sebenar. Amali. Praktikal. Real!

Aku pandang muka pakcik depan aku tu.

Dia agak kaget.

Tren berhenti di stesen seterusnya.

Aku tengok tangan kanan dia waktu tu bertutup dengan jaket. Tren masih sesak. Tambah kelam-kabut bila ada yang nak keluar dan tak kurang ramai juga yang nak masuk.

Elok dia melangkah keluar, aku capai tangan dia.

Dia melawan. Kawan dia ada kat luar tren dah masa tu.

Tren dah nak gerak balik dan pintu pun dah nak tutup beberapa ketika lagi.

Aku teringat bini aku kat dalam, “terlepas tren ni, nangis la bini aku ni.” Entah dia nampak situasi aku bergelut dengan pakcik Sepanyol tu entah tidak.

Aku tarik jaket dari tangan pakcik tu. Orang kat dalam tren dah bising-bising menyaksikan pergelutan kami.

Dan kau tahu apa aku dapat?

Kat tangan pakcik tu ada segenggam barang dari pouch aku – duit, tiket, resit dan earphone.

Pakcik tu angkat tangan dan bagi isyarat suruh aku ambik barang-barang aku tu dan lepaskan dia.

Dalam masa yang makin nipis tu aku kena buat keputusan:

1. Nak cedok perut pakcik tu? Panjang pula cerita. Kalau tren tinggal aku, bini aku dan aku pun terpisah. Nangis la dia.

2. Kalau aku apa-apakan pakcik tu, aku mana tau sangat gaya sosial dan undang-undang sini. Silap-silap aku pulak yang kena charge. Panjang lagi cerita.

3. Nak bawak dia naik jumpa polis kat atas? Eh bini aku kat dalam tren lagi tu. Nanti tren gerak, aku dan bini aku terpisah nanti, nangis la dia.

4. Masuk balik dalam tren?

Semua ni antara apa yang terlintas kat kepala aku. Lintasannya laju-laju bak kereta Myvi.

Loceng berbunyi. Pintu tren dah nak tutup.

Ada 1 resit aku terjatuh.

Aku capai resit tu dan aku cepat-cepat masuk balik.

Orang-orang berdekatan aku dalam tren tu yang menyaksikan situasi aku dan 2 orang pakcik tadi agak riuh. Ramai yang tanya aku ok ke tak. Mereka semua pun terkejut. First time kot tengok depan mata kes pickpocket.

Aku cari bini aku. Dan dia ada.

Jadi, kalau sebelum ni aku baca, lihat (video) dan dengar je, sekarang aku dah tambah lagi satu iaitu pengalaman. Aku dah alami sendiri benda ni.

Hal penyeluk saku atau pickpocket ni, apa yang aku belajar:

1. Di tempat orang, kita tak kenal sosio-budaya mereka sangat. Membaca sangat membantu. Tak banyak, sikit, kau cari ilmu dengan membaca.

2. Sentiasa berhati-hati dengan orang yang kita tak kenal. Jaga jarak terutamanya barang-barang yang berharga.

3. Elakkan bertentang mata. Kecuali dengan orang yang kau dah kenal. Ini Ajai Papap ajar aku. Somehow, benda ni betul. Dari pandangan mata, orang-orang tertentu boleh baca ketidakselesaan, kerisauan, dan segala macam yang bermain dalam perasaan kita. Dari situ mereka akan memilih mangsa.

4. Asingkan duit dan barang berharga di beberapa tempat berbeza. Contohnya: dalam pouch, dalam beg, dalam plastik Maggie dalam beg, dalam lipatan spenda dan sebagainya. Jangan letak setempat.

5. Dalam keadaan sesak, SENTIASA cek barang dan situasi sekeliling selang beberapa minit. Kalau boleh, selang beberapa saat. Kalau ada beg galas, sebaiknya berkunci. Atau kalau tak, saling tengok-tengokkan sesama partner.

6. Jika dikepung atau terkepung (ni aku kena kat Paris 2 tahun lepas), sekali lagi, jaga eye contact dan cuba cari tempat paling selamat yang paling dekat di sekeliling. Jika sekeliling masih ramai orang, teruskan berjalan. Tuju ke tempat selamat tu. Jangan cakap apa-apa.

7. Kalau ada mamat datang kat kau nak peluk bahu dari belakang dan tegur acah-acah friendly, “hello my friend,” dan sewaktu dengannya, elakkan dan loloskan diri cepat. Tangan diorang ni laju nak mampus. Sekejap je zip beg galas kau tu dah terbukak dan barang kau kena copet. Gone in 10 seconds!

8. Pakai pouch atau handbag di dalam jaket. Bukan di luar jaket. Sebaiknya paras pinggang ke atas. Ini mengelakkan kau jadi sasaran penyeluk saku.

9. Duit tak payah bawak semua kalau boleh. Simpan kat peti besi hotel atau tempat yang kau rasa selamat. Kalau tak ada tempat selamat, praktikkan perkara nombor 4 tadi.

10. Sentiasa berjaga-jaga dengan orang yang sangkut jaket atau baju kat tangan. Satu lagi pakai surat khabar atau kertas peta. Banyak skil penyeluk saku guna kaedah ‘jaket dan surat khabar’ ni – di meja makan, dalam tren dan sebagainya.

11. Kau tambahlah sendiri. Macam aku kata tadi, banyakkan membaca, melihat, dan mendengar. Jangan malu-malu bertanya.

Begitulah ceritanya.

Kami kemudian menuju ke El Rastro market, pasar pagi di Madrid. Macam uptown versi pagi. Murah weih!

Pengakhiran semalam, Real Madrid menang. Dan kami menutup pengembaraan dengan hati riang.

 

Aisa Linglung

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Ahli Politik Haprak Lahir Dari Sikap Masyarakat Yang Berperangai Haprak

Bagaimana Nak Buat Nuget Ayam Yang Lembut Macam Di Kedai (Tanpa MSG Semestinya!)