, ,

Kau Tahu Perasaan Jadi Buta Walau Masih Boleh Melihat?

Pada tahun 2011, saya pergi ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat pertama kali dalam sejarah kehidupan. Itu pun selepas disyorkan oleh seorang kawan yang cacat sebelah mata semenjak kecil. Dia kata, orang yang ada kad OKU boleh buat pasport percuma. Jadi, saya pun memohon kepada JKM untuk buat kad OKU.

Sebelum saya cerita apa yang berlaku di sana, elok kita kenal dahulu siapa yang layak dikatakan sebagai OKU penglihatan. Menurut JKM yang mengambil definisi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kurang upaya penglihatan ialah:

“Tidak dapat melihat atau mengalami penglihatan terhad di kedua-dua belah mata walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan seperti cermin mata atau kanta sentuh.”

Ada dua jenis kurang upaya penglihatan iaitu terhad dan buta. Baru-baru ini kita diberitahu melalui akhbar tentang seorang perempuan OKU penglihatan. Ikutkan kata pegawai JKM, perempuan itu OKU penglihatan tahap B3. Saya pun tidak pasti apa definisi B3.

Yang saya tahu, saya ini OKU penglihatan terhad. Menurut JKM, penglihatan terhad bermaksud:

“Penglihatan lebih teruk dari 6/18 tetapi sama dengan atau lebih baik daripada 3/60 walaupun dengan menggunakan alat bantuan penglihatan atau medan penglihatan kurang dari 20 darjah dari fixation.”

Mari kita fahami sebaris-sebaris.

Pertama, penglihatan lebih teruk dari 6/18. Apakah msksudnya?

Bayangkan saya sekarang menemani anda menjalani pemeriksaan penglihatan. Saya tidak rabun. Anda mungkin rabun. Pemeriksa menyuruh anda membaca Carta Snellen (rujuk gambar).

Anda duduk sejauh 6 meter atau 20 kaki daripada Carta Snellen. Manakala saya berdiri di samping anda dengan sabar.

 

Sementara anda menjalani pemeriksaan, saya pun menyibuk hendak baca juga apa yang tertulis di carta itu.

Dari jarak 6 meter atau 20 kaki, saya boleh baca semua huruf di baris 8 (rujuk gambar pertama). Orang yang berpenglihatan normal juga boleh baca semua huruf di baris 8 itu dari jarak 6 meter atau 20 kaki. Hal ini bermaksud, tahap penglihatan saya ialah 6/6 atau 20/20.

Penglihatan yang terbaik ialah 6/6 atau 20/20. Agaknya sebab itulah Dr Mahathir buat Vision 2020.

Sekarang, tiba giliran anda diperiksa. Anda pun berusaha dengan gigih membaca semua huruf yang ditunjukkan oleh pemeriksa. Tiba-tiba, selepas huruf T, O dan Z, anda berhenti. Bukannya anda buta huruf, tetapi anda tidak nampak huruf-huruf di baris 4 dengan jelas.

Oleh itu, berdasarkan Carta Snellen, tahap penglihatan anda ialah 20/70 atau 6/24. Dengan lain perkataan, saya yang tidak rabun ini boleh baca huruf T, O dan Z dari jarak 24 meter, manakala anda perlu pergi sehampir 6 meter baru boleh baca huruf tersebut.

Sebenarnya, memang itulah tahap penglihatan saya walaupun dengan memakai cermin mata tebal. Jikalau saya tidak pakai cemin mata, saya cuma boleh baca huruf E sahaja (20/200 atau 6/60) dengan jelas, ataupun mungkin F dan P dengan sedikit kabur.

Dengan definisi JKM itu, saya sudah terlebih layak untuk dikategorikan sebagai OKU penglihatan terhad. Hal ini kerana tahap penglihatan saya lebih teruk daripada 6/18.

Kedua, sama dengan atau lebih baik daripada 3/60. Apakah maksudnya?

Mengikut kaedah pemeriksaan tadi, sekiranya anda tidak dapat membaca huruf E yang besar gedabak itu walaupun dengan memakai cermin mata, sehinggalah anda berdiri sehampir 3 meter dari Carta Snellen itu, bermaksud tahap penglihatan anda ialah 3/60. Alhamdulillah, anda masih berada di dalam kategori penglihatan terhad.

Apakah yang terjadi sekiranya anda masih tidak nampak huruf E dari jarak 3 meter walaupun dengan memakai cermin mata? Mengikut definisi WHO, anda dianggap sebagai buta. Ya, anda buta walaupun anda masih boleh nampak sikit-sikit. Hal ini menjelaskan bagaimana sesetengah orang buta boleh tahu duit apa yang orang letak di tangan dia.

Ketiga, walaupun dengan menggunakan alat bantuan penglihatan. Apakah signifikannya?

Ya, inilah yang membezakan OKU penglihatan terhad daripada orang rabun yang boleh nampak jelas dengan memakai cermin mata. Sekiranya tahap penglihatan anda lebih baik daripada 6/18 dengan memakai cermin mata, anda tidak layak dikategorikan sebagai OKU penglihatan terhad.

Sekarang, realitinya, saya ulangi, tahap penglihatan saya dengan memakai cermin mata berkuasa 900 ini (saya lupa) hanyalah sekadar 6/24 sahaja.

Ini bukan saya yang suka-suka cakap. Ini doktor kerajaan yang sahkan. Bagi membolehkan saya diiktiraf sebagai OKU, saya perlu mendapatkan pengesahan daripada doktor pakar di hospital kerajaan terlebih dahulu. Terima kasih kepada seorang doktor Cina di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Malangnya, dengan pengesahan doktor kerajaan pun, ada staf JKM yang macam tidak percaya. Ada seorang staf lelaki Melayu dan seorang lagi staf perempuan India. Yang perempuan India itu saya dengar dia bercakap kepada seorang lagi staf yang melayani saya di kaunter. Dia mempersoalkan entah-entah saya ini rabun sahaja.

Saya boleh terima jikalau orang yang bukan staf JKM memperlekehkan kecacatan saya. Ini staf JKM yang menjaga kebajikan masyarakat kononnya, mestilah mereka lebih tahu tentang masalah orang yang lemah seperti saya. Namun, dengan tahap pendidikan seperti itu, tidak hairanlah banyak orang susah di sana-sini meskipun kerajaan Barisan Nasional memberikan peruntukan kepada JKM setiap tahun.

Lantaran itu, saya berkongsi di sini supaya anda lebih tahu dan lebih empati terhadap golongan seperti kami. Selepas ini, janganlah semudah-mudahnya menuduh seseorang yang buta itu penipu. Padahal anda sendiri yang tidak tahu definisi buta menurut WHO dan JKM.

FJ Habibie

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

One Comment

Leave a Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *