in ,

Jaga Gigi Anak, Kalau Tidak Ini Yang Akan Terjadi

Gambar : myhealth.gov.my

Seorang ibu membawa anak kecil berusia 5 tahun dengan keadaan muka belah kirinya membengkak. Bengkak daripada atas bibir sehingga bahagian bawah mata. Bengkak kemerahan itu menyebabkan mata kiri hanya boleh dibuka separuh dan mulut akan sakit ketika membuka.

Pemeriksaan kita mendapati banyak gigi dalam mulut budak kecil ini sudah rosak. Gusi atas sebelah kiri juga membengkak menyukarkan laluan jari pada sulkus (Sulcus Obliteration). Seperti biasa, pemeriksaan sebegini pasti akan diiringi tangisan dan jeritan.

Keadaan budak ini terlalu lemah dek kerana kesukaran membuka mulut menyebabkan adik ini tidak dapat makan dengan betul. Tidak cukup nutrien entah untuk berapa lama. Kerana untuk mendapat bengkak besar begitu bukan semalaman. Tertanya juga kenapa dibiarkan besar begitu baru datang dapatkan rawatan?

Kanak-kanak ini perlukan rawatan segera. Dia dimasukkan ke dalam wad, dimasukkan air melalui saluran vena dan diberi antibiotik. Belum apa-apa, si ibu sudah mula risau berapa lama perlu tinggal di wad. Ubat yang diberi berkesan dan bengkak mula surut. Dia boleh membuka mulut dengan lebih baik dan kita galakkan adik ini untuk makan.

Setelah berbincang dengan pakar pergigian kanak-kanak, dan disebabkan faktor logistik dan geografi, rancangan rawatan untuk adik ini ialah mencabut semua gigi yang rosak dalam keadaan separa sedar (Dental Clearance under Sedation). Prosedur bius separa sedar akan diselia oleh pegawai perubatan bertauliah.

Walaupun sudah dibius separa sedar, suntikan bius tetap perlu diberikan pada kawasan yang gigi perlu dicabut. Sebanyak 4 batang gigi dicabut sekaligus dalam sesi ini. Setelah adik ini sedar, tiada pendarahan pada gusi lagi dan boleh menjamu selera, kita benarkan mereka pulang. Kita berikan peringatan juga kemungkinan besar gigi bawah juga ada potensi untuk bengkak.

Nak dijadikan cerita, sebulan kemudian mereka datang lagi kerana bengkak bahagian bawah pula. Lalu proses sama berulang. Sungguh menyeksakan buat budak kecil ini menanggung bengkak muka buat kali kedua. Dan sesi ini, 6 lagi giginya dicabut.

Sebab itulah walaupun hanya gigi susu, hendaklah kita jaga. Ibu bapa janganlah leka dan abaikan. Kasihanilah anak masing-masing. Jangan perlekeh “Gigi susu sahaja, tak apalah.”

Ini nasihat untuk dibawa pulang:

1. Jangan biarkan anak anda tertidur dengan botol mengandungi susu atau air manisan.

2. Bersihkan mulut bayi selepas minum susu dengan menggunakan kain lembap yang dibalut pada jari manis anda dan gosok pada gigi dan gusi bayi untuk membuang sisa susu.

3. Kurangkan penggunaan botol susu secara berperingkat. Galakkan minum menggunakan cawan atau sudu seawal usia 6 bulan.

4. Bilas mulut anak anda dengan menggalakkan meminum air kosong selepas menghabiskan susu.

5. Elakkan memasukkan gula ke dalam susu anak anda.

6. Ibu bapa digalakkan memberus gigi anak-anak berusia di bawah 6 tahun.

7. Bawa anak untuk pemeriksaan gigi di klinik gigi setiap 6 bulan.

Dr. Muhamad Iqbal.
Prihatin..

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Takoyaki Octopus Prime Paling Sedap!

Lain Padang Lain Belalang, Lain Anak Lain Didiknya