in ,

Ini Cara Pixar Sematkan Kasih Sayang Dihati Penonton Mereka

Apabila Hector menyanyikan kepada Coco, lirih melodi ‘Remember Me’ air mata saya menitik. Kita akhirnya mengerti, kematian bukanlah sebuah pengakhiran. Juga Miguel memahami keluarga juga sepenting masa depan dan mimpi.

Membuatkan saya terfikir apakah yang menjadikan filem-filem Pixar begitu diingati, membuatkan kita begitu emosional dan anehnya sesuai ditonton setiap lapisan khalayak? Mengapa naskah-naskah Pixar begitu berbeza daripada Disney? Atau adakah lagi yang tidak tahu perbezaan di antara filem Pixar dan Disney?

Kita bermula dengan sejarah ringkas Pixar. Walau pun Disney dan Pixar keduanya adalah simbol kegemilangan animasi dunia sebelah Barat, perhubungan antara dua syarikat ini bermula dengan kepahitan. Pixar Animation Studios adalah syarikat yang benar-benar mahu membuat filem dan memerlukan wang untuk pelaburan dan pengedaran global. Kemudian Pixar membuat kerja sama dengan syarikat mega Disney.

Sehingga pembikinan Toy Story 2, mereka masih dua syarikat yang berbeza. Kerja sama mereka hampir ranap kerana Disney cenderung untuk membaham imej dan kekuatan Pixar. Selepas melalui begitu banyak pertengkaran, Disney membeli Pixar dan berjanji untuk memberi mereka kuasa kreatif dan kredit nama mereka terus diabadikan di dalam filem-filem yang mereka tukangi.

Menurut Andrew Stanton, pencipta IP dan penulis kepada banyak filem Pixar, mereka melanggar begitu banyak resam kebiasaan dan syarat yang biasanya dibuat di dalam filem Disney.

Di sini digariskan beberapa perbezaan besar di antara naskah Pixar dan Disney hingga menjadikan Pixar sebagai studio yang tidak pernah ‘flop’ di dalam jualan dan sering kali abadi di dalam kebanyakan naratifnya:

1. Cakerawala Pixar Yang Luas

Disney kerap mengulangi adaptasi cerita legenda, hikayat-hikayat lama dengan reinkarnasi dan rupa yang baru. Tetapi Pixar membina dunianya tanpa batasan. Dunia monster yang memerlukan sumber kuasa jeritan kanak-kanak. Tikus yang mahu menjadi tukang masak di Paris. Clown Fish bernama Marlin yang merentas beberapa lautan luas untuk mencari anaknya yang hilang. Keluarga adiwira yang pencen. Robot buruk pembersih dunia menemui cintanya, Eva yang turun daripada langit. Miguel, pemuzik yang tercampak ke dunia kematian. Kegilaan cakerawala ini seperti tidak berpenghujung. Dan kita terpesona dengan dunia mega ini.

2. Konsep Seni Yang Pelbagai

Antara penyebab yang benjadikan Disney begitu mudah diduga adalah kerana Disney sukar untuk mengubah konsep rekabentuk karakter. Daripada zaman animasi 2D hinggalah 3D, Disney kekal dengan dengan badan langsing, bentuk wajah sempurna dan bermata besar. Pixar bereksperimen dan bermain dengan watak-wataknya. Perhatikan bagaimana rupa satu keluarga Mr Incredibles bervariasi. Silhouette mereka sahaja jelas berbeza. Juga mereka memfokuskan kepada permainan tekstur, fabrik dan rekabentuk latar yang realistik. Di dalam Moana dan Coco, kita begitu mudah jatuh cinta dengan latar indah kepulauan Polinesia dan warna-warni budaya Mexico.

3. Isu-Isu Pixar Yang Realistik

Ketika hingga hari ini, Disney masih berkisah tentang dunia magis putera-puteri, kebanyakan filem-filem Pixar adalah satira yang masam manis. Inside Out adalah fakta saintifik perlawanan emosi remaja dan Pixar memuntahkannya dengan begitu mudah dan indah. Dalam keanehan Toy Story di mana sekumpulan mainan gila yang bercakap, kita difahamkan dengan kesetiaan dan persahabatan. Wall-E mengajarkan ketakutan tentang bumi yang mati kerana timbunan sampah manusia. Pixar adalah penglipurlara yang bercerita dengan realistik di dalam dunia yang penuh keanehan.

4. Tidak Meraikan Antagonis

Bukan Disney sahaja yang suka meraikan watak jahat aka antagonis. Antagonis penting untuk menggerak konflik juga untuk menunjukkan pertentangan daripada pihak baik kepada jahat. Tetapi Pixar menyembunyikan antagonis yang jelas di dalam naratif. Lihat saja di dalam filem Finding Nemo. Kita mencari-cari watak gelapnya. Akhirnya kita mengerti, Pixar mahu kita melihat antagonis daripada sudut berbeza. Jika di dalam Finding Nemo, seluruh lautan dan cabaran adalah satu bentuk antagonis, begitu juga hidup. Di mana antagonis sebenar adalah ekonomi, sistem, saman, hutang dan sebagainya.

5. Keindahan Semiotik

Berbanding Disney yang lebih suka menyampaikan naratif secara terus dan tepat sesuai dengan khalayak sasarannya kanak-kanak, kebanyakan cerita Pixar bermain dengan simbologi. Berkias, menyampaikan filsuf naratifnya dengan indah. Filem Up yang begitu banyak menggunakan perlambangan ini menjadikannya begitu diingati.

Lihatlah bagaimana daripada awal perlahan-lahan kita diperkenalkan dengan Carl dan Ellie. Carl dengan wajah, silhouette, berkaca mata empat segi begitu kontras dengan Ellie yang lebih curvy daripada segala aspek. Bingkai-bingkai gambar mereka juga. Perlahan-lahan kita melihat kerusi dominan empat segi Carl bersebelahan kerusi bercorak bunga kepunyaan Ellie yang juga memberi karakter. Mereka adalah pasangan kontradik yang saling melengkapi hingga ke hujung nyawa.

Jadi, apabila melihat gambar di atas, harap kamu mengerti belon mewakili Ellie bersama impian kembara semasa hidupnya telah menyelamatkan Carl daripada dihantar ke rumah orang-orang tua. Begitulah Pixar bercerita.

Kuasa cinta mengatasi segala-galanya.

Raiha Bahaudin

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

KADS1M: Ini Adalah Hak Industri Buku!

Stephen Hawking Meninggal Dunia Pagi Ini di Usia 76 Tahun