in ,

FELDA Tidak Pernah Gagal

Susulan dari tulisan aku tentang FELDA tempoh hari, banyak juga tulisan lain yang aku perhatikan muncul mengenai FELDA, baik yang memuji atau mencela. Ya, dalam banyak tulisan tentang bagaimana FELDA sedang melalui proses transformasi dan berubah untuk menjadi lebih baik, ada juga yang mengkiritik FELDA di atas kesilapan atau kegagalan yang berlaku.

Kita semua perlu terima hakikat bahawa apa sahaja sistem atau organisasi rekaan manusia tidak sempurna. Ada baik tapi ada juga cacatnya. Dan kita perlu mengambil kira bahawa FELDA walaupun merupakan satu rancangan penempatan semula dan pembasmian kemiskininan, ia juga merupakan satu entiti perniagaan. Adat dalam mana-mana perniagaan pastilah akan ada untung dan rugi. Cuma dalam kes FELDA selaku sebuah ‘social enterprise’ atau perusahaan sosial, kerajaan selaku pentadbir memainkan peranan untuk memastikan sebarang kerugian tidak akan menjejaskan nasib peneroka melalui bantuan atau pampasan sewajarnya.

Aku malas nak tulis tentang segala perkara-perkara baru yang timbul dari FELDA kini seperti FGV, Felda 2.0, Lembah Digital Bilut, D’Mart atau sebagainya kerana aku rasa perkara ini banyak ditulis oleh orang lain. Tapi aku suka untuk menulis tentang asas dan asal FELDA itu sendiri, peneroka dan tanah rancangan.

Kini sejumlah 122,000 keluarga peneroka terlibat dalam FELDA sejak dari pembukaan penempatan FELDA pertama di Air Lanas, Kelantan pada tahun 1957 yang hanya melibatkan hanya sekitar 400 peneroka. Sejak tahun 1991 dilaporkan bahawa FELDA tidak lagi terlibat dalam pembukaan tanah rancangan atau penempatan baru, tetapi telah pun mempunyai keluasan tanah sekitar 500,000 hektar yang kebanyakannya digunakan untuk penanaman kelapa sawit manakala selebihnya adaah pokok getah, koko dan tebu.

Siapa yang kita panggil peneroka FELDA ini, dan kenapa kita gelarkan mereka peneroka bukannya petani atau peladang?

Asal-usul peneroka FELDA sebenarnya pelbagai, tetapi satu persamaan atau kriteria yang jelas dalam pemilihan oleh kerajaan untuk siapa yang layak menjadi peneroka ialah individu tersebut miskin, tidak memiliki tanah sendiri dan mempunyai latar belakang pertanian. Oleh itu sebahagian besar dari peneroka yang terpilih asalnya adalah pesawah padi, penoreh getah, penanam kelapa selain dari nelayan kecil, pekerja estet dan bekas anggota keselamatan.

Para peneroka ini datang dari seluruh negara, namun yang paling ramai datangnya dari Johor dan Pahang. Setiap dari peneroka ini akan ditempatkan di tanah rancangan FELDA yang ditetapkan dan diberikan tanah seluas 4 hektar untuk diusahakan, selain disediakan rumah yang dibina oleh FELDA.

Apa agaknya kos untuk menempatkan seorang peneroka berserta ahli keluarganya? Mengikut kiraan tahun 1990, kos untuk seorang peneroka menelan belanja sekitar RM50,000. Sebagai bayaran balik peneroka diberikan tempoh selama 15 tahun untuk membayar kembali 2 per 3 dari kos ini yang antaranya meliputi kos pengurusan kebun sawit seluas 4 hektar dan rumah yang disediakan.

Selain dari itu, peneroka turut diberikan elaun sara hidup sementara menunggu tanaman mereka mengeluarkan hasil selain jaminan hasil tanaman peneroka akan dibeli oleh FELDA sendiri.

Tanah rancangan FELDA bertaburan di Semenanjung dan Sabah (Sarawak dikhabarkan ada satu kawasan FELDA, tetapi diusahakan secara perladangan komersil). Majoriti dari kawasan FELDA ini diusahakan sebagai pegangan kecil peneroka.

Semua tanah rancangan asalnya adalah milik kerajaan negeri. Kerajaan persekutuan tidak memiliki tanah sendiri kecuali yang ada di tiga wilayah persekutuan hari ini. Selaku agensi kerajaan persekutuan, FELDA memperolehi tanah ini melalui pindah milik dari kerajaan negeri kepada FELDA tanpa bayaran dan penjimatan kos ini dipindahkan pula kepada peneroka.

Namun kos membuka tanah rancangan ditanggung oleh FELDA melalui peruntukan dari kerajaan persekutuan dan juga pinjaman dari pihak lain antaranya Bank Dunia. Selain dari membuka tanah baru dan membina rumah peneroka, FELDA juga mengeluarkan duit untuk membina infrastruktur sampingan seperti bekalan air dan elektrik, jalan raya, sekolah dan sebagainya demi memastikan komuniti FELDA yang diwujudkan mampan.

Antara tiga projek tanah rancangan FELDA yang terbesar adalah Segitiga Jengka di Pahang yang dimulakan pada tahun 1968, Johor Tenggara pada tahun 1974 dan Sahabat di Sabah pada tahun 1980. Segitiga Jengka sebagai contoh melibatkan pembukaan tanah baru seluas 40,000 hektar dan penempatan seramai 9,200 keluarga peneroka dengan dana dari Bank Dunia. Sahabat pula diiktiraf sebagai tanah rancangan FELDA terbesar dengan keluasan sehingga 160,760 hektar.

Pada awalnya kebanyakan tanah rancangan FELDA menjadikan getah sebagai tanaman kontan utama, tetapi ia kemudian beralih kepada kelapa sawit yang memberikan pulangan lebih baik kepada peneroka dan FELDA. Antara lewat 1970-an hingga lewat 1980-an, sekitar 30% dari tanah yang digunakan untuk perladangan kelapa sawit di Malaysia adalah di dalam kawasan FELDA. Inilah besarnya peranan FELDA dalam membantu menjadikan Malaysia antara negara pengeluar sawit terbesar dunia.

Hari ini, wujud hampir 300 tanah rancangan FELDA yang mencorak lanskap muka bumi negara kita. Tanpa FELDA mungkin kebanyakan kawasan tanah ini terbiar tanpa penghuni dan tidak diusahakan dan kita mungkin bukan pengeluar minyak sawit utama dunia. Dan dari 122,000 keluarga peneroka yang terlibat dalam rancangan FELDA, dianggarkan sekitar sejuta rakyat Malaysia berjaya dibawa keluar dari lembah kemiskinan. Tanpa FELDA, mereka ini mungkin masih lagi pesawah padi yang mengerjakan tanah bendang milik orang lain, nelayan kecil dengan perahu disewa atau pekerja estet yang mengusahakan tanah bukan milik sendiri.

Untuk kita katakan FELDA gagal, adalah tidak tepat. Besar sebenarnya sumbangan FELDA ke atas negara dan rakyatnya. Ya, memang ada kesilapan atau kerugian seperti mana-mana bidang perniagaan tetapi secara keseluruhannya FELDA adalah satu perusahaan sosial yang telah banyak memberikan impak positif buat kita semua.

Cabaran yang seterusnya buat FELDA adalah untuk terus kekal berdaya saing kerana kita perlu ingat, generasi peneroka pertama FELDA sudah berusia dan tempat mereka perlu diambil alih oleh generasi kedua dan ketiga FELDA. Dan di sinilah pada pandangan aku datangnya idea seperti FGV, Felda 2.0 dan sebagainya dalam membawa FELDA ke satu era yang baru. Matlamat FELDA kini bukan lagi tentang membasmi kemiskinan atau penempatan semula, tetapi tenang bagaimana memastikan ia kekal berdaya saing dan relevan buat kita semua,

Harapan kita sebagai rakyat Malaysia adalah untuk melihat semua pembaharuan dalam FELDA ini dapat memberikan hasil sebaik yang telah diberikan oleh FELDA yang asal. Dan inilah amanat yang perlu dipikul FELDA masa kini.

Muhammad Najib

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

PRU#14 vs 21 Hari Tragedi di Felda Tenang

Persepsi Dan Salah Faham Terhadap FELDA