in ,

Coretan Mengenai Silibus Persekolahan Anak-anak

Gambar : FB Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar

Sejak akhir-akhir ini timbul perbincangan mengenai hala tuju pendidikan anak-anak kita. Sekali-kali saya tidak bermaksud untuk mengkritik, kerana saya mempunyai ramai sahabat-sahabat daripada kalangan guru, dan saya amat menyanjungi tugasan mereka dalam mendidik anak-anak kita, sebagaimana saya amat menyanjungi guru-guru saya yang mengajar berbagai konsep daripada mula membaca, mengira sehingga ke peringkat lebih tinggi. Cuma saya berharap diberi peluang untuk memberi sedikit maklum balas tentang silibus anak anak, dari kacamata seorang ibu dan ahli masyarakat.

Saya melihat baru baru ini anak saya di tingkatan 1 telah pun didedahkan dengan sistem reproduksi (rujuk gambar). Dia tidak dapat menjawab dengan baik. Saya masih ingat, 2 atau 3 tahun yang lepas si abang belajar topik ini ketika di tingkatan 3, dan ada soalan percubaan PT3 telah pun bertanyakan pelajar tentang konsep perancang keluarga menggunakan senario pesakit yang mempunyai sista ovari (ovarian cyst).

Saya melihat buku sains tingkatan 1 anak saya, dan penerangan tentang sistem reproduksi amat ringkas, menyebabkan sukar bagi anak seusia 13 tahun memahami apa yang berlaku dalam kitaran haid seorang wanita.

Sebagai pensyarah fisiologi perubatan, saya memang faham tentang topik ini. Namun, para pelajar perubatan yang saya ajar, memerlukan lebih dari sekadar kuliah. Mereka ada sesi tutorial dan diperkaya dengan sesi diseksi/bedah mayat bagi melihat organ reproduksi dan diambil pula tisu rahim untuk dilihat di bawah mikroskop. Baru mereka dapat memahami dan menggambarkan kitaran haid secara penuh dan kaitannya dengan hormon.

Saya faham tanggungjawab ibu bapa harus turut membantu anak-anak dalam pencapaian akademik mereka. Maka bagi anak saya yang tingkatan 1, saya dapat menerangkan secara ringkas di mana kesalahan beliau, walaupun melihat matanya yang terkebil2, dia belum memahami lagi apa yang sebenarnya membentuk dinding rahim, apa itu proses ovulasi dan lain-lain.

Saya terfikir ibu yang bukan dari latar belakang sains atau perubatan, keluarga yang tiada akses internet, bagaimana mereka dapat membantu anak-anak mereka?

Sewaktu soalan percubaan PT3 mengenai perancang keluarga keluar 2-3 tahun lepas, sahabat saya yang merupakan doktor pakar perbidanan dan sakit puan, menyatakan hanya anak beliau yang dapat markah penuh. Sahabat saya ini mengendalikan klinik kesuburan dan perancang keluarga.

Soalan peperiksaan penggal sains bagi si adik ketika beliau dalam darjah 4 adalah tentang ‘perubahan kadar pernafasan, ketika inhalasi (menyedut udara)’. Saya memang terkejut.

Pertamanya, soalan itu salah kerana menarik nafas dalam dan kadar pernafasan adalah variabel/pembolehubah yang sama. Yang sebetulnya adalah kadar denyut nadi yang berubah apabila seseorang menarik nafas dalam. Konsep ini amat sukar difahami hatta bagi pelajar perubatan sekalipun kerana ia melibatkan pemahaman tentang banyak lagi sistem sirkulasi (venous return, end diastolic volume etc) dan pernafasan (intrathoracic, intrapleural, transpulmonary pressure) sehingga mereka memerlukan 3 jam praktikal bagi menguji dan memahami konsep perubahan ini.

Bagi budak berusia 10 tahun, bagaimana menerangkan konsep ini selain menghafal sahajalah? Soalan adalah berbentuk pilihan objektif.

Lantas saya titipkan nota kepada guru beliau untuk menerangkan bagaimana soalan itu salah. Sekembalinya anak saya dari sekolah, saya tanyakan tentang nota saya, katanya hanya jawapan beliau dibetulkan. Saya rasa saya faham dilema guru anak saya dan saya tidak ingin “pressure” mereka. Saya berharap teguran saya sampai ke pihak panitia.

Saya juga masih belajar tentang Kemahiran Berfikiran Aras Tinggi (KBAT) atau Higher Order Thinking Skill (HOTS), dan meraikan konsep ini kerana kita tidak mahu rote-learning atau pelajar yang hanya memuntahkan hafalan pelajaran mereka. Namun saya berpendapat KBAT bukan bermaksud konten/kandungan pelajaran yang lebih tinggi daripada usia pelajar, tetapi bagaimana pelajar berupaya mengaplikasikan apa yang mereka belajar dengan masalah semasa, sesuai dengan usia mereka.

Apabila konten yang diberikan lebih tinggi, maka terpaksa ibu bapa mendapatkan bantuan tambahan seperti tuisyen. Disebabkan itu, ramai yang masih memerlukan kaedah latih tubi seperti diamalkan kumon bagi subjek seperti matematik dan bahasa. Bagi keluarga yang mampu, bolehlah. Bagaimana dengan mereka dari keluarga yang berpendapatan rendah?

Di Kulliyyah Perubatan UIA dahulu, terdapat posting kesihatan masyarakat di Ulu Tembeling. Saya pernah sewaktu menunggu bot penambang dari Kuala Tahan, berbual dengan seorang ibu dari Kampung Bantal. Beliau pindahkan anaknya ke sekolah kebangsaan di Kuala Tahan, sedangkan ada sekolah Ulu Tembeling di Kampung Bantal tersebut. Anaknya yang darjah 1, terpaksa duduk di asrama kerana jarak Kg Bantal ke Kuala Tahan menggunakan bot mengambil masa 3 jam. ‘Tak rindukah pada anak?’ tanya saya. Kecil-kecil lagi duduk di asrama. Sedih dan rindu katanya, tapi sekolah di Kg Bantal ketika itu, kekurangan guru. Di Kuala Tahan, guru-guru mencukupi. ‘Saya sendiri tak pandai nak ajar anak saya doktor,’ katanya.

Begitulah pengorbanan ibu ayah bagi membantu anak-anak mereka mendapatkan yang terbaik. Justeru itu, apabila silibus kita direka dengan suatu bentuk yang memerlukan ibu bapa turut sedikit sebanyak harus mempunyai latar belakang sains, matematik, english, physic, chemistry agar dapat membantu anak-anak, atau terpaksa mengeluarkan wang tambahan bagi menghantar anak-anak ke kelas tuisyen, saya sentiasa terfikir ibu bapa yang kurang berkemampuan, yang bertungkus lumus mencari sesuap nasi, pelajar-pelajar yang “average” yang asas mereka masih belum mantap. Mungkinkah minat mereka terkubur kerana sukarnya mengikuti silibus yang ‘skew/ condong’ kepada pelajar-pelajar bijak?

Saya berharap pihak kementerian pelajaran dapat mengambil coretan saya ini sebagai maklum balas yang positif daripada seorang ibu yang melihat perkembangan dan respon berbeza anak-anaknya melalui perubahan silibus, dan sedikit pedagogi pendidikan sains/biologi perubatan.

Gambar kedua adalah soalan sains darjah 4, yang pada hemat saya mempunyai lebih dari 1 jawapan betul kerana perkumuhan dalam badan manusia bukan sahaja usus, bahkan oleh buah pinggang, hati dan kulit.

TAMBAHAN NOTA GAMBAR KE 2:

Terima kasih kepada yang memberi pandangan terutama guru-guru. Seperti yang saya katakan dalam posting asal, saya memahami tugasan guru dan keperluan mereka mematuhi silibus. Justeru itu tulisan saya adalah lebih ditujukan kepada penggubal silibus. Saya juga hanya menumpukan kepada beberapa permasalahan melibatkan soalan-soalan berunsur perubatan dan kesihatan (selain daripada 1 contoh soalan matematik).

Dalam soalan perkumuhan di atas, saya kurang faham kenapa diasingkan perkumuhan daripada penyahtinjaan. Perkumuhan (excretion) adalah terma payung meliputi:

Perkumuhan oleh buah pinggang : pembuangan air kencing (urination)
Perkumuhan oleh usus : penyahtinjaan (defeacation)
Perkumuhan oleh kulit : perpeluhan (sweating)
Perkumuhan oleh hati: detoksifikasi

Oleh kerana itu, pemisahan perkataan perkumuhan dan penyahtinjaan tidak berapa tepat kerana penyahtinjaan adalah satu proses dibawah perkumuhan.

Sebab itu maklum balas ini adalah untuk penggubal, bukannya guru-guru yang berdedikasi dan mengikut silibus yang diberikan.

Keduanya, bagi anak-anak semuda 10 tahun, ada baiknya penekanan diberikan kepada proses perkumuhan, dibandingkan dengan terus memastikan mereka menghafal penyakit-penyakit di bawah 2 kategori tersebut seperti yang ditanya dalam soalan.

Ini hanyalah maklum balas. Saya menerima penerangan guru-guru dengan besar hati. Terima kasih.

Gambar ketiga adalah soalan matematik darjah 4 anak kepada sahabat saya, yang kesalahannya hanyalah kerana sususan nombor kumpulan dan bilangan kumpulan yang salah, walaupun jawapannya betul.

Semoga kita semua dapat berbincang dengan berhemah dan mencari penyelesaian terbaik insyaAllah demi generasi anak-anak kita.

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Kisah Pak Putih dan Mak Itang, Pencuri Duit Tabung Masjid

Segera Tukar Nama Laut Kita Kepada Laut Malaysia Raya