in ,

Buka UiTM Kepada Bukan Bumiputera Atau Reformasi Pendidikan Menyeluruh?

gambar; MyNewsHub

Sebagai seorang bekas siswa UiTM, aku setuju kalau UiTM dibuka kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama. Tapi dengan syarat, mereka yang terpilih masuk ke UiTM ini mestilah dari golongan kurang berkemampuan atau B40. Bila tak ada ambilan pelajar dari golongan B40, barulah diambil dari M40 tapi tidak sama sekali dari T20.

Tapi pembukaan UiTM kepada semua kaum mestilah berlaku dengan pemansuhan ke atas sekolah-sekolah vernakular (SJKC atau SJKT) dan satu lagi yang agak berat, sekolah agama.

Ya, benda ini bukan mudah. Yang Cina akan bermatian mempertahankan SJKC mereka dan yang Melayu juga tak akan rela sekolah agama mereka dimansuhkan. Tapi selagi setiap kaum di Malaysia memilih untuk mempunyai sistem pendidikan tersendiri maka selagi itulah kita ini akan jadi rakyat yang terpisah mengikut garisan kaum.

Pendidikan adalah platform terbaik sebenarnya untuk menyatukan rakyat Malaysia. Bukan PLKN atau apa-apa program lain. Bayangkan faedah yang negara perolehi apabila anak-anak Malaysia belajar bersama di satu tempat sejak dari umur 7 tahun. Seberapa banyak interaksi antara kaum dan agama yang mewujudkan peluang untuk kita saling belajar dan memahami antara satu sama lain.

Masalah kita hari ini, sekolah lain-lain dan dikuasai satu-satu kaum. Dari kecil belajar dan berkawan pun dengan bangsa sendiri, tak pernah nak kenal atau ada kawan berbangsa lain atau yang mengamalkan agama berbeza. Benda ini akan terbawa-bawa hinggalah ke peringkat dewasa dan sampai memasuki alam pekerjaan.

Tapi soalan yang akan ditanya oleh setiap Ahmad, Ah Chong dan Anada nanti adalah bagaimana kami nak kekalkan identiti bangsa jika hanya satu aliran sekolah diwujudkan?

Ya, ini tidak dinafikan adalah batu penghalang utama bila kita bercakap tentang sekolah satu aliran.

Yang Melayu, pertimbangan mereka lebih kepada agama Islam. Kalau sekolah agama dimansuhkan, di mana kita hendak melahirkan para ustaz dan ustazah yang tahu bahasa Arab dan selok-belok agama.

Yang Cina dan India pula, pertimbangan mereka lebih kepada bahasa ibunda. Kalau sekolah vernakular dimansuhkan, di mana anak bangsa mereka dapat belajar bahasa ibunda Mandarin atau Tamil dengan sistematik.

Mahu atau tidak, kita kena cari satu jalan penyelesaian untuk kebuntuan ini.

Salah satu cara paling mudah, wujudkan subjek bahasa ketiga di sekolah. Bahasa ketiga ini terdiri dari Arab, Mandarin dan Tamil. Berikan kebebasan kepada pelajar untuk pilih subjek bahasa ketiga mereka.

Untuk pelajar Muslim pula walaupun sudah mempunyai Pendidikan Islam tapi demi memenuhi keperluan pendidikan agama yang lebih mendalam, mungkin boleh diwujudkan sesi sekolah tambahan bagi yang berminat. Yang ini tidak perlu diadakan di setiap sekolah, tapi cukup kalau dibuat secara kolektif melibatkan beberapa sekolah mengikut keperluan.

Ini apa yang aku boleh fikirkan guna kepala sendiri. Selebihnya kita harap Menteri Pendidikan baru ada kesungguhan untuk lakukan perubahan ikut kaedah mereka.

Pendekatan sekolah satu aliran ini perlu kalau kita serius mahu mewujudkan masyarakat Malaysia yang berasimilasi dengan baik dan bersatu. Dan hanya dengan reformasi pendidikan menyeluruh sebegini barulah kita boleh bercakap pula tentang membuka UiTM kepada semua kaum.

Apa macam?

Muhammad Najib

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Kenapa Kementerian Kewangan Pula Perlu Bayarkan Hutang 1MDB?