in ,

Bangunkan Liga Tempatan, Baru Sembang Tentang World Cup

Gambar : https://twitter.com/NST_Online

Belum pun sempat wisel penamat untuk aksi separuh masa pertama dibunyikan, sudah ramai yang marah-marah, dan mahukan skuad negara dirombak. Ada juga yang mahukan skuad senior digantikan dengan skuad belia.

Dan, tidak sedikit yang mempertikai jumlah pemain naturalisasi Hong Kong yang membarisi kesebelasan pasukan negara tersebut.

Mungkin ada yang ingat, ketika Kelayakan Piala Dunia 2014, isu naturalisasi Singapura juga timbul.

Seperti yang saya sebut ketika itu, isunya bukan tentang dari mana asal pemain dalam pasukan lawan. Tapi, sejauh mana persediaan kita untuk menghadapi mereka.

Di luar sana, banyak lagi pasukan hebat yang perlu kita depani, sama ada mereka punya bintang naturalisasi mahupun tidak.

Jepun layak ke Piala Dunia buat kali pertama di Larkin dulu pun, selepas membariskan pemain naturalisasinya. Jadi, seharusnya itu tidak perlu ditimbulkan.

Jadi, keutamaannya adalah untuk kita membangunkan liga tempatan yang lebih kompetitif, berkualiti dan diuruskan dengan lebih profesional.

Pastinya, disertai oleh kelab-kelab yang diuruskan dengan lebih berintegriti.

Para pemain tempatan juga perlu lebih berani mencuba nasib beraksi di liga luar, sekurang-kurangnya untuk pengalaman dan pendedahan. Lebih ramai, lebih baik. Supaya, kita dapat membekalkan pemain-pemain yang bagus untuk Harimau Malaya.

Jalan perjuangan ini memang jauh, tapi kita mesti mula bergerak. Walau dengan bertatih, meski dengan merangkak. Kalau tidak, untuk tahun-tahun mendatang, kita akan terus meratap dan mendesak agar skuad senior dirombak, dan diganti oleh skuad yang lebih muda pada ketika itu.

Jangan lupa, selepas tragedi rasuah seputar 1995, kita terpaksa bermula dengan kosong. Namun, kita tetap mendesak agar kejayaan segera dikecapi, dan skuad senior diganti dengan pemain muda, setiap kali gagal merangkul piala.

Ketika itu, para pemain muda seperti B. Rajinikandh dan Azmil Azali diberikan tekanan untuk beraksi cemerlang bersama skuad senior negara. Mereka diberi peluang untuk beraksi bersama bintang seperti Azman Adnan, Dollah Salleh, Khairul Azman dan lain-lain.

Bila menang tempat kedua Piala Tiger 1996, dijulang bagai wira. Bila kalah Sukan SEA 1997, semua dicerca dan dihentam sehina-hinanya.

Akmal Rizal, Hairuddin Omar & Co. pernah muda. Safiq Rahim, Safee Sali & Co. juga pernah belia. Dan kini, kita ada Thanabalan, Akhyar Rashid & Co.

Sedari dulu, kita punya potensi dan harapan sebenarnya. Tapi, kita sering kali hanya memikir dan mengambil jalan mudah, dengan mengharapkan kejayaan datang bergolek.

Pandang liga kita, dan cari solusi untuk itu dahulu.

Dari situ, sama-sama kita bina potensi baharu. Bukan sekadar memutar roda harapan palsu, yang tiada jalan penghujungnya.

Selamat maju jaya, bola sepak Malaysia. Sokong, waktu gagah dan rebah. Selamanya, Harimau Malaya.

#BangkitBersama
#HarimauMalaya

Che Din

Retro Bola Sepak

What do you think?

-2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 2

Downvotes percentage: 100.000000%

Leave a Reply

Berhenti Kayakan Penipu!

Defending Your Life: Bangun Di ‘Padang Mahsyar’