in ,

Azam Baru Milah

Pagi tadi saya dengar Sinar FM. Yang mana elok ada seorang pemanggil bertanya tentang azam 2017 kepada Yang Berbahagia Datuk Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah (DHMFK).

Jawapan DHMFK mengejutkan saya.

Beliau bercerita ada beberapa kajian mengatakan 95% mereka yang membuat azam akan melupakan azamnya pada hari ke-21. Dengan kata lain, mereka ini sekadar ada azam sahajalah. Atau, hanya tinggal 5% sahaja yang akan teruskan ke hari 22 hingga 365. Kahkahkah. Yang 5% itu entah-entah hari ke 40 pun dah kiok.

Kawan-kawan yang baik,

Azam sesuatu yang kau tak perlu canang. Sama juga dengan DHMFK, masa Jep tanya beliau, “Datuk punya azam apa ya?” Beliau jawab, “ada banyak”. Ha, beliau sendiri pun tak nak cerita.

Azam sepatutnya perjanjian dengan diri kau sendiri. Apa yang kau nak lakukan dan apa yang kau hajatkan. Itulah azam. Sekiranya kau nak tulis atau nak buat lawa-lawa pun, tetap untuk diri kau dan tak perlu kau canang kepada sesiapapun.

Jika ikut takrif di dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) perkataan azam bermaksud tujuan yang hendak dicapai. Ia sesuatu yang sentiasa ada dalam proses kehidupan.

Maksudnya hari ini kau nak pergi kerja, jadi azam kau pagi ini ialah nak capai kejayaan masuk kerja. Itulah azam.

Apabila merujuk kepada benda yang ada kaitan dengan tahunan, pastinya azam kau itu sesuatu yang besar.

Dan, benda besar ini elok kau usahakan diam-diam sebelum kau pergi sebar ke jiran kau yang memangnya kaki kepoh. Apabila ia tersebar, ia akan jadi pertanyaan. Kemudian dipersoalkan.

Contohnya, kau berazam nak kahwin. Lalu kau pun buat poster sepanjang januari yang kau akan pasang strategi nak cari jodoh, bikin badan, kerja baik-baik serta pergi kelas etika dengan mentua dan tentunya pergi bengkel memasak dengan Bapa Brownies Kebangsaan. Eh.

Masuk sahaja cuti sekolah bulan 3, kawan kau tanya kau “macam mana, dah jumpa?” Kau pun tersengih-sengih fikir nak jawab apa. Elok bulan 6, kawan kau yang diam-diam tak pernah sebut tentang hal nak kahwin pun kasi kau kad, “ha lepas raya ni aku nak kahwin dah. Jemput ya”. Kau pun ambil kad itu, hati kau menggigil.

Terasa jantung kau berhenti sekejap. jerawat di bawah hidung kau terpecah tiba-tiba. Lalu meleleh darah hingga ke dagu. Kahkahkah.

Kau pun masuk bilik. Pusingkan badan lalu berdiri mengadap pintu. Kau pun depakan tangan dan kemudian kau hempaskan badan ke katil ala-ala terjun dari alik belakang. Lalu badan kau menyentuh tilam. Kau peluk kad tersebut dan jerit,

“nak kawwwwwweeeeeennn!!”

Emak kau pun berlari ke bilik kau, terus beliau tak sempat brek lalu menghempas badannya di pintu bilik dan pintu pun terpecah kemudian emak kau jatuh di atas badan kau. Di pegangnya muka kau dengan dua belah tangannya yang berlemoih dengan keledek yang telah dihancurkan. “kau kenapa Milah terjerit-jerit?”

Kau pun menangis, peluk mak kau cerita kawan kau pun dah nak kahwin sedang kau belum lagi ada yang nak berkawan pun.

Mak kau pun lempang kau kiri dan kanan, kemudian bangun hantukkan kepala kau ke almari tunjuk baju pun penuh tak basuh-basuh ada hati nak kahwin konon. Dan terus mengingatkan kau tentang kau pergi canang siap poster bagai tentang azam kau itu.

Lalu mak kau duduk di sebelah kau, peluk bahu kau dan cerita satu hal,

“Wahai anakku Milah,

Tuhan kata, nak berhajat, diam-diamlah. Sedangkan waktu kita solat pun kita boleh berdoa. Dan doa kita itu tidaklah kita bercakap sampai orang sebelah dengar. Yang penting kita tahu apa yang kita hajatkan dan sangat yakin Tuhan mendengarnya dengan baik.

Milah,

Tak semua perkara kau boleh canang. Azam itu kau anggaplah sebagai asas untuk kau berdoa. Dan itu semua rahsia kau dengan Tuhan.

Minta baik-baik dan susun satu demi satu. Jika dulu kau sibuk nak mencanang dan berbangga dengan apa yang kau tidak miliki, kau tengoklah sekarang kau sedang diketawakan.

Sekiranya kau buat diam-diam, dan itu antara kau dengan Tuhan kita sahaja. Sudah tentu kau lebih banyak reda dan lebih perbanyakkan lagi doa kau.

Kau kena ingat Milah,

Doa pun tak payah kau tulis di Facebook. Sama macam azam kau, kau doa diam-diam ya.”

Emak kau pun bangun nak betulkan pintu terus sahaja sambung memasak kuih keria gemok untuk suaminya.

Kawan-kawan,

Kool dan tenang sahaja bab azam ini. Hujung tahun nanti kita susun checklist mana yang selesai mana yang belum. Awal tahun kita diam-diam sahaja apa yang kita nak buat. Saya beri tips paling mudah,

Azam sendiri, saya diam-diam seorang diri.

Azam keluarga, saya berpakat dengan isteri. Dan kami rahsiakan sama-sama. Walau apa sahaja yang berlaku, tak payah cerita dengan sesiapapun sama ada ia berjaya atau gagal.

Dalam setahun, biasanya minimum 4 kali kami duduk sekali untuk semak balik checklist mana yang dah capai, mana yang belum.

Begitulah. Diam-diam sahaja. Tuhan tahu. Cewah.

Sekian.

 

Khairul Hakimin Muhammad

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Patung Emas Rebutan Orang Filem

Sori, Gua Tak Jual Pada Cina