in

30 Tahun Seniman Masih Melawan

Filem yang baik ialah filem yang mampu mencetuskan polemik dan perdebatan sehingga lebih seribu tahun. Filem seperti ini seperti hidup dan menyala. Kebiasaannya filem-filem seperti ini sudah tentu memilih subjek penceritaan yang dekat dengan masyarakat dan isu-isu yang tidak pernah selesai. P.Ramlee merupakan salah seorang pembikin filem yang mampu menghasilkan filem-filem yang terus dikenang. Ini bukan soal silap mata atau P.Ramlee itu dilabelkan sebagai Nostradamus, tetapi P.Ramlee menggunakan medium filem untuk membuat pemaparan soal kehidupan masyarakat secara jelas dan nyata. Lebih menarik isu-isu ini ialah ialah isu-isu yang tidak pernah selesai dan melingkari kita sehingga ke hari ini. Isu korupsi, kemiskinan, penindasan, penyelewengan, kecurangan, perbalahan kelas dan sebagainya.

Tiga puluh tahun dahulu, pada tahun 1986 Malaysia juga memiliki sebuah filem yang mencetuskan polemik dan perdebatan sehingga ke hari ini. Melalui ruang kontroversi dan isunya tersendiri, Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani boleh kita angkat sebagai karya filem yang unik dan dekat di hati kita. Pemaparan kehidupannya jelas, aspek penindasannya kuat dan perbincangan tentang perosak dalam seni juga sesuatu yang mencengkam. Tidak hairan jika Kembara Seniman Jalanan akan terus diperkatakan sampai bila-bila.

Kembara Seniman Jalanan seperti literal tajuknya menyoroti perjalanan hidup seorang seniman jalanan yang memiliki prinsip teguh bernama Bujang atau kemudiannya dikenali sebagai Jebat kerana ciri-ciri melawan penindasan dan kekentalan hatinya yang menyamai keperwiraan Jebat.

Filem ini menampilkan gandingan M.Nasir sebagai Jebat@Bujang dan Pyanhabib sebagai Osman Tikus. Di samping watak-watak pembantu lakonan Khadijah Ibrahim, Majid Salleh, Dr.Sam, Imuda dan Shah Reza. Selain itu, filem ini juga melihatkan kemunculan khas kumpulan rock hebat pada masa itu seperti Sweet Charity dan Search serta band blues teragung, Blues Gang.

Secara ringkasnya Kembara Seniman Jalanan menampilkan Bujang (lakonan M. Nasir) yang baru tiba di di Kuala Lumpur dan dompet bujang telah dicuri oleh seorang penyeluk saku bernama Osman Tikus (lakonan Pyanhabib) di Hentian Puduraya. Selepas daripada itu, Bujang dan Osman menjadi sahabat baik dan mereka tinggal di semua rumah tinggal. Bujang berhasrat untuk mengembangkan bakat seninya dan menjadi artis rakaman.

Bujang ke studio rakaman milik Encik Johan, namun Bujang telah menerima layanan penuh diskriminasi kerana pakaian, imej dan lagu-lagu yang dibawakannya dikatakan tidak komersial. Namun Bujang tetap menjalani uji bakat dan menyampaikan lagu berjudul Rupa Tanpa Wajah. Encik Johan telah menggagalkan uji bakat Bujang dan mengganggap Bujang tidak akan berjaya. Namun hakikatnya, Encik Johan telah merakam secara senyap-senyap melodi lagu Bujang itu dan menukarkannya kepada irama pop untuk dinyanyikan oleh seorang penyanyi popular dan kacak lakonan Shah Reza.

Bermula daripada situ pelbagai konflik berlaku dan bermulanya amukan Bujang@Jebat melawan penindasan terhadap golongan seni dan nasib karya-karya yang diciplak dan dicetak rompak oleh lanun-lanun.

Filem ini diterbitkan oleh Zarul Al-Bakri melalui ZSA Holdings Sdn Bhd. Lebih menarik kredit pembukaan filem ini memaparkan lukisan-lukisan indah dan abstrak milik S. Amin Shahab, M. Nasir dan Mohd Din. Penghargaan seniman seperti ini amat jarang berlaku dalam sinema tempatan dan hal ini dilakukan Nasir dengan cermat dan mewujudkan satu persekitaran besar terhadap karya tempatan.

Menurut Nasir Jani dalam tulisannya di akhbar Sinar Harian beliau menganggap Kembara Seniman Jalanan membawa idea, wacana tentang masalah ekonomi karyawan, seniman Melayu khususnya dan masalah ekonomi bangsa Melayu amnya.

Skrip asal filem ini adalah tulisan M.Nasir malah tajuk Kembara Seniman Jalanan itu juga adalah idea M.Nasir. Namun menurut Nasir Jani, skrip asal berkenaan telah melalui banyak proses kemaskini sehingga munculnya lakon layar penuh yang dihasilkan oleh Nasir Jani berdasarkan kepada skrip berkenaan. Filem ini juga mencatatkan sejarah tersendiri sebagai kemunculan pertama M.Nasir di dalam filem.

Filem yang memiliki jiwa dan kekuatan melawan penindasan secara ironinya sering ditindas penguasa di Malaysia. Filem-filem seperti ini kebiasannya akan menerima tekanan dan akan dicuba seboleh-bolehnya untuk dihalang penayangannya. Kita tidak pasti apa yang terjadi sebenarnya, seolah-olah wujud pertentangan yang nyata dalam kebebasan kreatif dan kuasa di tangan penguasa. Filem seperti Kembara Seniman Jalanan bukan memberikan lawan yang angan-angan, tetapi lawan terhadap hal-hal yang terjadi dan tidak pula membayangkan perlawanan itu dalam bentuk sembarangan, tetapi tersusun dan berfokus. Misalnya di dalam Kembara Seniman Jalanan lawan itu adalah melawan perosak seni dan lanun cetak rompak.

Pada asalnya Kembara Seniman Jalanan menerima pencalonan yang banyak dalam hampir semua kategori dipertandingkan semasa Festival Filem Malaysia Ke-6 yang berlangsung pada 14 Disember 1986. Pada tahun berkenaan, filem hebat arahan Rahim Razali, Tsu Feh Sofiah merangkul anugerah filem terbaik.

Menurut Nasir Jani dalam kolumnya di akhbar Sinar Harian, sesuatu yang mengejutkan telah berlaku pada malam penyampaian anugerah sempena festival berkenaan. Ketua Juri telah memutuskan di saat-saat akhir di atas pentas bahawa semua pencalonan filem Kembara Seniman Jalanan ditolak kerana pelakon utama filem berkenaan, M.Nasir bukan warganegara Malaysia.

Jelas sekali wujud unsur sabotaj kepada filem ini. Sudah tentu unsur perlawanan, menegakkan keadilan dan memijak penindasan tidak disenangi oleh penguasa dan malang untuk kita dunia seni kita dikuasai oleh orang-orang politik yang menentukan apa yang boleh dibikin dan apa yang tidak. Lebih memeritkan pengumuman berkenaan dibuat terlalu lewat dan syarat itu langsung tidak dinyatakan sebelum ini.

Pada malam berkenaan, Pyanhabib menang dalam kategori pelakon pembantu lelaki terbaik menerusi filem Tsu Feh Sofiah, namun satu lagi sejarah berlaku apabila Pyanhabib menolak kemenangan itu di atas pentas dan Pyanhabib merasakan dirinya wajar menang sebagai Osman Tikus. Pencalonan Pyanhabib sebagai Osman Tikus sebelum itu turut dibatalkan penganjur.

Kembara Seniman Jalanan sudah berusia 30 tahun, namun kerelevanannya masih kekal dan kepetahan kita untuk berbicara tentang filem ini masih belum pudar. Filem ini boleh dianggap sebagai cult kerana memiliki pengikutnya yang setia. Malaysia terus menanti dan menanti filem-filem memberontak seperti ini, untuk memberikan ruang dan pemikiran sedar kepada kita bahawa filem juga medium protes yang unggul dan mampu memberikan kesan.

Seperti kata Osman Tikus, Brader, Kita Mesti Terus Hidup. Begitu juga dengan Kembara Seniman Jalanan akan terus hidup untuk mengingatkan kita bagaimana filem juga mampu menggoncang pengaruh dan tampuk kuasa.

 

Daniyal Kadir

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Kau Rasa Beli Insurans Untuk Travel Tak Berguna?

Kenapa Kau Perlu Tonton Filem Dr. Strange Sebelum Berakhirnya Tahun 2016